Kamis, 10 November 2011

SERI SURAT-SURAT...(.2) Salinan surat zainab buat hamid dalam "Dibawah Lindungan Ka'bah"



Abangku Hamid! 

Baru sekarang adinda beroleh berita di mana abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggalan yang empunya pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri. Agaknya adinda telah bersalah besar sehingga kekanda pergi tak memberitahu dahulu. 

Sayang sekali, pertanyaan abang belum adinda jawab dan abang hilang sebelum mulutku sanggup menyusun perkataan penjawabnya. Kemudian itu abang perintahkan adinda menurut perintah orang tua, tetapi adinda syak-wasangka melihatkan sikap abang yang gugup ketika menjatuhkan perintah itu. 

Wahai abang…. Pertalian kita diikat oleh beberapa macam tanda Tanya dan tekateki, sebelum terjawab semuanya, kita telah berpisah dengan tiba-tiba. Memang demikiankah kehendah takdir? 

Adinda sentiasa tiada putus pengharapan, adinda tunggu khabar dan berita. Di balik tiap-tiap kalimah daripada suratmu. Abang!....surat yang terkirim dari Medan, ketika abang akan belayar jauh, telah adinda periksa dan adinda selidik; banyak sangat surat itu berisi bayangan, di balik yang tersurat ada yang tersirat. Adinda hendak membalas tetapi kearah manakah surat itu hendak adinda kirimkan, abang hilang tak tentu rimbanya! 


Hanya kepada bulan purnama di malam hari adinda bisikkan dan adinda pesankan kerinduan adinda hendak bertemu. Tetapi bulan itu tetap tak datang; pada malam yang berikutan dan seterusnya ia kian kusut….. hanya kepada angin petang yang berhembusan di ranting-ranting kayu di dekat rumahku, hanya kepadanya ku bisikkan menyuruh supaya ditolongnya memeliharakan abangku yang berjalan jauh, entah di darat di laut entah sengsara kehausan. 
Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu adinda terima selama hidup adinda tumpahkan airmata, kerana hanya menumpahkan airmata itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meski pun ia telah lapuk dalam lipatan dan telah layu kerana kerap dibaca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya. 

Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari entah besok petang, gerak Allah siapa tahu, besarlah pengharapanku supaya abang dapat pulang, dapat juga hendaknya kita bertemu….. 

dan jika abang terlambat pulang, agaknya bekas tanah penggalian, bekas air penalkin dan jejak mijan yang dua, hanya yang akan abang dapati. 
Adikmu yang tulus,

Zainab
…………………….

Pergi wuquf ke `Arafah menjadi rukun daripada mengerjakan haji, tak dapat tidak Hamid pun mesti ikut ke sana. Maka dipasanglah sakdup-sakdup di punggung unta yang beribu-ribu banyaknya. Bersedia hendak membawa orang haji ke `Arafah itu. Kira-kira pukul empat petang, jemaah-jemaah telah berangkat berduyun-duyun menuju ke `Arafah, jalan sempit dan penuh oleh manusia dan kenderaan berbagai-bagai, ada yang mengenderai keledai, kuda dan unta, tetapi yang paling banyak duduk dalam sakdup iaitu dua buah tandu yang dipasang kiri kanan punggung unta. 

Di `Arafah sangat benar panasnya, sehingga ketika berhenti di tempat itu sehari lamanya, kita ingat-ingat akan berwuquf kelak di padang Mahsyar. Setelah matahari terbenam kami kembali menuju ke Mina, berhenti sebentar di Muzdalifah memilih batu untuk melempar " Jumrah" di Mina itu kelak. Setelah berdiam di Mina pada hari yang ke sepuluh, ke sebelas, kedua belas, ketiga belas, bolehlah kembali ke Mekah mengerjakan tawaf besar dan Sai`e, setelah itu bercukur, sehabis bercukur baru disebut " haji".  Pada perhentian besar di Mina itu, orang-orang yang kaya menyembelih korban untuk fakir dan miskin. 
Demam Hamid yang dibawanya dari Mekah bertambah menjadi-jadi, lebih-lebih setelah mendapat hawa yang panas di `Arafah itu. Di sana banyak orang yang mati kerana kepanasan. Hamid tak mahu lagi makan, badannya sangat lelah, sehingga seketika berangkat ke Mina ia tiada sedarkan dirinya.

Setelah selesai penyembelihan besar itu, pada hari yang ke sebelas Hamid berangkat ke Mekah, iaitu mengerjakan rukun yang agak cepat, tidak menunggu sampai tiga hari. Sebelum mengerjakan tawaf besar itu, lebih dahulu Hamid singgah ke rumah. Kerana penyakit Hamid rupanya bertambah berat, terpaksalah kami mencarikan orang Badwi upahan, yang biasanya menerima upah mengangkat orang sakit mengerjakan tawaf. Sebelum Hamid diangkat ke atas bangku itu, yang diberi hamparan daripada kulit dahan kurma berjalin, khadam syeikh datang terburu-buru menghantarkan sepucuk surat dari Sumatera, setelah kami buka, ternyata datangnya dari Rosnah. Muka Salleh menjadi pucat,jantung saya berdebar-debar membaca isinya yang tiada sangka-sangka, Zainab telah meninggal, surat menyusul, Rosnah. 

Setelah dibacanya dengan sikap yang sangat gugup Salleh menyimpan surat kawat itu ke dalam sakunya, sambil memandang kepada Hamid dengan perasaan yang sangat terharu.  Tiba-tiba dari tempat tidurnya Hamid kedengaran berkata; " Surat apakah yang tuan-tuan terima? Apakah sebabnya tuan-tuan sembunyikan daripadaku? Adakah ia membawa duka atau khabar suka? Jika ia khabar suka, tidakkah patut saya diberi sedikit saja daripada kesukaan itu? Kalau khabar itu mengenani diri saya sendiri lebih baik tuan-tuan terangkan kepada saya lekas-lekas, tidaklah patut tuan-tuan sembunyikan lama-lama jangan dibiarkan saya di dalam sakit menanggung perasaan yang ragu-ragu." 

" Tenagkanlah hatimu, sahabat! Kehendak Allah telah berlaku, ia telah memanggil orang yang
dicintaiNya ke hadratNya."   
" Oh, jadi Zainab telah dahulu daripadaku? " tanyanya pula. 
 " Ya, demikianlah, sahabat!" 
 Mendengar jawapan itu kepanya tertekun, ia menarik nafas panjang, dari pipinya meleleh dua
titik airmata yang panas. 

Tidak beberapa saat kemudian, datanglah Badwi tersebut membawa tandu yang kami pesan, Hamid pun dipindahkan ke dalam dan diangkat dengan segera menuju Masjidil Haram, saya dan Salleh mengiringkan di belakang menurut Badwi yang berjalan cepat itu. Setelah sampai di dalam masjid, dibawalah dia tawaf keliling Ka`bah tujuh kali. Ketika sampai yang ke tujuh kali diisyaratkannya kepada Badwi yang berdua itu menyuruh menghentikan tandunya di antara pintu Ka`bah dengan batu hitam, di tempat yang bernama Maltezam, tempat segala doa yang makbul.
Orang lain tawaf pula berdesak-desak. Dengan sifat sabar orang-orang Badwi mengangkat tandu ke dekat tempat yang tersebut. Hati saya sangat berdebar melihatkan keadaan itu, saya lihat muka Hamid, di sana sudah nampak terbayang tanda-tanda kematian. Sampai di sana dihulurkannya tangannya, dipegangnya kesoh kuat dengan tangannya yang telah kurus, seakan-akan tidak akan dilepaskannya lagi. Saya dekati dia, kedengaran oleh saya dia membaca doa demikian bunyinya: 

" Ya Rabbi, ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah lindungan Ka`bah, rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan tangan memohon kurnia. 

Kepada siapa lagi yang saya akan pergi memohon ampun, kalau bukan Engkau ya Tuhanku!
Tidak ada suatu tali pun tempat saya bergantung, lain daripada tali Engkau, tidak ada pintu yang
akan saya tutup, lain daripada pintu Engkau.  

 Berilah kelapangan jalan buat saya, saya hendak pulang ke hasrat Engkau; saya menuruti orang-orang yang dahulu daripada saya, orang-orang yang bertali hidupnya dengan hidup saya. 
 Ya Rabbi, Engkaulah Yang Maha Kuasa, kepada Engkaulah kami sekalian akan kembali….." 

Setelah itu suaranya tidak kedengaran lagi; di mukanya terbayang suatu cahaya muka yang jernih
dan damai, cahaya keredhaan daripada Ilahi. 

Di bibirnya terbayang suatu senyuman dan….sampailah waktunya lepaslah ia daripada
tanggungan dunia yang amat berat ini, dengan keizinan Tuhannya, di bawah lindungan Ka`bah! 

Pada hari itu selesailah mayat sahabat yang dikasihi itu dimakamkan di perkuburan Ma`ala yang
masyhur. 


Kian lama kian sunyilah tanah Mekah. Bukit-bukit yang telah gondola itu tegak dengan teguhnya
laksana pengawal yang menyaksikan dan menjagai orang haji yang beransur pulang ke kampong
masing-masing. Kedai-kedai kian sudah tutup, sebab 6 bulan pula lamanya pasar akan sepi. Tidak
putus-putus unta berarak-arak diiringkan oleh gembalanya bangsa Badwi sambil bernyanyi-
nyanyi. 

" Dalam kerendahan diri, ada ketinggian budi, 
" Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa, 
" Dalam kesempitan hidup, ada keluasan ilmu, 
" Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah S.W.T.


 Diambil dari:
Dibawah Lindungan Kaabah.
Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar